Catatan

bela ikan patin sebagai percubaan

Alhamdulillah sempat membeli anak ikan patin untuk dijadikan sebagai percubaan. Antara cabaran ialah penerimaan ikan ikan yang lebih besar seperti ikan kaloi dan ikan keli. Lima ekor anak ikan patin dibeli dengan harga RM 2.00 seekor. Dedak kecil juga dibeli dan akan dijadikan dedak makanan ikan lain. Apabila ikan patin sudah membesar, saiz dedak akan ditukar. Sistem pam sudah dibaiki dan berjalan lancar. Harap harap tidak tercabut untuk mengelakkan kolam kecil kekurangan oksigen. Kemungkinan akan menambah satu lagi set pam kecil supaya lebih banyak sisa kumbahan ikan dapat ditapis. Jangkaan dapat menuai hasil ikan patin sebagai hidangan dalam tempoh enam bulan insyaAllah.

semaian bayam

Alhamdulillah hari ini sempat menyemai bayam kedalam beberapa bekas tanaman yang sebelum ini disemai benih sawi. Benih sawi tidak tumbuh langsung kali ini. Kemungkinan besar disebabkan oleh penggunaan benih lama.  Keadaan agak kritikal sekarang ini kerana hendak mengambil kesempatan hujan yang turun sekarang ini disamping stok sayur yang rendah sekarang ini. Sudah lama juga tidak merasa bayam masak air. Harap harap benih bayam ini tumbuh insyaAllah.

menyediakan tali memanjat buat petola

Alhamdulillah semaian petola sedang membesar. Dua biji benih petola berjaya membesar daripada lebih 10 biji benih yang disemai. Satu ditanam didepan rumah dan satu lagi dibelakang rumah. Pokok dikawasan belakang rumah kurang mendapat sinaran matahari kerana pasu pasu terpaksa diletak berdekatan dengan dinding. Apabila waktu mulai petang, pokok pokok akan menjadi teduh dan terlindung daripada sinaran terus cahaya matahari. Tali memanjat akan dibuat supaya petola mendapat cahaya matahari yang secukupnya dan menerukan tumbesaran. Pucuk petola yang baru tumbuh menarik perhatian semut. Tidak pasti samaada pucuk petola mengeluarkan apa apa jenis gula yang menjadi tarikan semut.

tuaian kohl rabi purple vienna

Imej
Alhamdulillah akhirnya dapat juga merasa tuaina kohl rabi purple vienna setelah hampir setahun menanam. Daun rasa lebih kurang seperti daun kailan. Manakala batang ubinya dimasak dengan sup daging. Dapat juga merasa secebis dimakan mentah. Rasa seperti lobak putih tapi lebih kuat baunya. Antara tips menanam kohlrabi 1. satu anak benih dalam satu pasu saiz lima liter. 2. pastikan air sentiasa cukup 3. letakkan ditempat yang sedikit teduh tetapi mendapat cahaya matahari yang cukup. Elakkan dibawah tempat berbumbung. 4. baja seadanya dengan baja organik Antara perosak 1. ulat bulu, periksa bahagian bawah daun jika ada tanda daun dimakan ulat bulu dan musnahkan ulat jika jumpa. InsyaAllah benih baru akan cuba disemai dari varieti purple vienna dan juga jenis biasa.

balik kampung 24 November 2013

Imej
Alhamdulillah sempat balik kampung minggu ini. Benih benih kacang panjang yang sudah sejengkal panjang dibawa pulang ke kampung. Beberapa anak benih ditinggalkan di perumahan untuk membesar. Namun, tidak sempat untuk menanam kerana kesuntukan masa. Kalau dulu dulu, ayah tanam kacang panjang dengan pelepah nyior sebagai para untuk kacang panjang menjalar. Tetapi hasil tak seberapa kerana pokok sering diserang bena.

perkembangan bekas kompos cacing

Alhamdulillah, bekas kompos cacing menunjukkan kemajuan dan semakin sihat. Sayur yang tidak habis akan diberikan kepada cacing cacing. Selepas seminggu dua, sayur perlu ditambah. Terdapat beberapa organisma lain yang hidup bersama kompos seperti siput kecil dan kutu kayu. Nampak kesibukan haiwan haiwan ini menguraikan sayuran. InsyaAllah akan cuba membuat beberapa lagi bekas kompos cacing kerana saya dapati kadar penghasilan sisa sayuran daripada aktiviti memasak sangat tinggi. Cacing cacing akan cuba dibeli dari kedai akuarium ataupun digali sendiri.

Keputusan semaian cili kulai dan kucai

Nampaknya semaian cili kulai dan kucai langsung tiada tanda tanda untuk bercambah. Maka untuk tidak membazir masa bekas tanaman ditabur dengan sayur bayam. Kebetulan cuaca hujan beberapa hari ini. Semoga sayur bayam ini bercambah insyaAllah kerana benih agak lama.