balik kampung 9 April 2017

Alhamdulillah dapat balik ke kampung lagi pada minggu lepas. Beberapa aktiviti ringkas sempat dilakukan memandangkan hanya waktu petang yang dapat diluangkan pada hari ahad untuk menjenguk kebun di kampung.

Kebun pisang
Pisang mula mengeluarkan jantung pisang. Kerja mengambil pisang yang tertangguh berjaya dilaksanakan. Satu tandan pisang berangan berjaya dibawa balik. Sebahagian tandan diberi kepada Bang Lie yang mengambil upah menguruskan bendang ayah. Kebetulan bertemu semasa dalam perjalanan pulang dari kebun pisang.

Terdapat satu lagi tandan pisang ditepi jalan yang sudah sesuai untuk diambil. Disebabkan kedudukan tandan pisang ini yang jelas kelihatan dari tepi jalan. Tandan pisang ini perlu di ambil cepat bagi mengelakkan kes kecurian. Kebiasaanya tandan pisang diambil apabila tinggal daun pisang terakhir sudah hampir layu. Namun, semasa meneliti tandan pisang yang hendak diambil, kelihatan susunan ranting ranting pada atas tandan pisang. Rupa rupanya terdapat sarang burung tekukur diatas tandan. Kelihatan anak burung tekukur yang mungkin berumur sekitar seminggu atau dua minggu. Masih belum mempunyai bulu pelepah. Jadi, hasrat mengambil tandan pisang ditangguhkan dahulu, biar anak burung ini dapat keluar sarang. Harap harap tiada pencuri yang mengambil tandan pisang.

Bendi dan terung
Alhamdulillah terung sudah mula berbunga dan bendi semakin rancak bercambah. Anak anak bendi dibawa juga ke kebun pisang untuk ditanam disana. Kawasan yang ditanam ditanda dengan batas batang pisang yang ditebang. Seingat saya, bendi ditanam ketika hari raya puasa tahun lepas. Kini pokok yang masih hidup menjadi sumber biji benih bendi.

Petola bantal
Petola bantal yang bercambah sejak musim kering dahulu semakin menjalar. Ketiadaan tempat memanjat menjadikan batang pokok memenuhi kawasan tanah kebun. InsyaAllah akan cuba membina para bagi pokok petola bantal menjalar.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

balik kampung, 14 Jun 2020

cara buat lemang

percubaan memasak beras rebus