cara buat lemang

Alhamdulillah, dapat belajar cara memasak lemang semasa hadir ke perhimpunan warisan haji din di Asun. Tenaga pengajar ialah seorang pengusaha lemang di Changloon yang sudah sepuluh tahun pengalaman membuat dan menjual lemang. Sedikit catatan sebagai memori untuk dicuba pada masa depan.


Buluh
Buluh yang dipilih ialah buluh lemang yang mempunyai ketebalan yang nipis. Setakat ini tidak jumpa buluh ini dikawasan bendang. Jadi, untuk membuat lemang pada masa depan, kemungkinan perlu memesan dari kawasan yang mempunyai buluh lemang.

Daun pisang
Daun pisang yang sesuai ialah daun pisang hutan. Ini kerana, pisang hutan mempunyai daun yang nipis. Jika daun pisang awak yang digunakan, daun perlu dilayur dahulu untuk melembutkan daun.

Pulut
Pulut yang sesuai digunakan ialah pulut susu gred 2. Ini kerana pulut susu gred 2 tidak terlalu mengembang. Pulut susu dengan gred 1 lebih sesuai untuk dijadikan ketupat. Beras pulut dibilas sekitar 4-5 kali. Beras pulut tidak perlu direndam semalaman.

Garam
Garam digunakan sekadar secukup rasa. Tidak terlalu masin kerana lemang akan dimakan dengan masakan lain seperti rendang.

Santan dan air
Santan yang digunakan perlu dicampur air supaya tidak terlalu lemak. Jika digunakan santan tanpa dicampur air, rasa lemang akan menjadi terlalu berlemak dan cepat muak.

Api
Lemang boleh dimasak menggunakan bara api ataupun api yang menyala. Jika mengunakan api yang menyala lemang lebih cepat masak tetapi perlu diperhatikan lebih kerap. Lemak perlu dibalik balikkan supaya masak sekata. Jika kena cara, lemang boleh dimasak dalam tempoh sejam sahaja.

Cara memasukkan beras pulut ke dalam buluh lemang
Beras pulut dimasukkan kedalam buluh lemang sedikit demi sedikit. Elakkan daripada menghentak buluh lemang kerana beras akan menjadi terlalu padat. Kemudian masukkan santan yang dibancuh air secara perlahan lahan. Paras beras pulut akan turun sedikit apabila santan dimasukkan. Tambah sedikit lagi beras pulut kedalam buluh lemang.

Lemang akan masak apabila bahagian atas buluh mulai mendidih seperti nasi yang dimasak. InsyaAllah akan cuba memasak lemang untuk hari raya kali ini sebagai satu kelainan di kampung. Kebiasaannya penduduk di kawasan Alor Setar lebih menggemari ketupat berbanding lemang.


Gambar akan diletakkan kemudian





Ulasan

  1. Amboi....rasa2 macam nak raya dah kan....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Aah dah rasa pula mood raya :-),

      nak kena cuba dulu buat lemang sebelum raya,

      takut nanti tak jadi

      Padam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

balik kampung, 14 Jun 2020

percubaan memasak beras rebus