udang padang goreng kunyit

Alhamdulillah balik kampung minggu lepas sempat merasa menu masakan yang sudah jarang di sediakan menggunakan udang padang. Pada masa dulu, udang padang sangat mudah didapati di kawasan bendang dan tali air. Namun kini, udang padang sukar ditemui kerana penggunaan racun yang banyak.

Cara mendapatkan udang padang ialah dengan cara menangkul. Tangkul dibuat daripada buluh dan kain jarang seperti kain kelambu. Dulu dulu, arwah mak Cik Lebar kerap datang pada waktu tengah hari untuk menjual udang padang setelah menangkul udang pada waktu pagi. Udang padang yang dijual dibungkus didalam daun pisang untuk mengekalkan kesegaran.

Minggu lepas, kak chik dapat membeli udang padang yang dijual di pasar pagi ahad Anak Bukit. Udang  yang dijual agak kecil tetapi kami berpuas hati kerana kuantiti yang dapat beli cukup untuk sekali hidangan. Cara penyediaan udang padang untuk masakan adalah mudah. Hanya perlu dibilas, dicampur kunyit dan garam. Kemudian, udang dimasak didalam minyak yang sedikit berserta cili kering dan bawang.

Kebetulan, terdapat buah mempelam yang masih muda di belakang rumah. Kerabu mempelam disediakan untuk makan tengah hari. Kombinasi kerabu mempelam dan udang padang goreng kunyit sangat menyelerakan.

InsyaAllah lain kali akan cuba menangkul udang padang di kawasan tali air berdekatan dengan rumah. Kualiti air masih baik kerana tiada saluran air parit yang masuk ke dalam tali air. Harap harap dapat memperolehi kuantiti dan saiz udang padang yang lebih baik.

Ulasan

  1. Dah lama tak pi nat Anak Bukit. Last pi 2 tahun lepas kut. Memang jumpa orang jual udang padang pun kat situ. Seronok. Mcm2 makanan kegemaran ada kat situ.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Nat Anak Bukit, memang menarik untuk dikunjungi :)

      Padam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

balik kampung, 14 Jun 2020

percubaan memasak beras rebus

cara buat lemang