balik kampung raya, Jun 2018

Alhamdulillah dapat balik beraya di kampung pada cuti kali ini. Banyak aktiviti menarik yang sempat dilakukan. Cuti selama 8 hari di kampung terasa puas. Namun, masih banyak lagi perkara yang tertangguh di kebun untuk diuruskan. Masa dikampung banyak dihabiskan untuk berhari raya dan mengemas kawasan sekitar rumah.

Memancing ikan puyu

Diantara aktiviti yang dinantikan oleh anak saudara ketika cuti di kampung. Jadi, saya hanya melayan permintaan mereka. Alhamdulillah, parit di belakang rumah masih lagi mempunyai penghuni didalamnya. Beberapa ekor ikan puyu yang besar berjaya dipancing. Joran teleskopik menjadi pilihan untuk memancing kerana mudah digunakan oleh anak saudara yang masih kecil. Umpan yang digunakan ialah cacing tanah yang digali sekitar belakang kampung. Teknik memancing puyu haruslah betul, barulah ada sambaran yang banyak. Tali pancing harus diletakkan pelampung sekitar satu jengkal daripada matakail. Jika tidak, ikan puyu susah untuk menjumpai umpan yang terbenam ke dasar. Satu lagi teknik untuk menarik perhatian ikan puyu ialah dengan cara menggerakkan umpan diatas air supaya pergerakan umpan menarik perhatian ikan yang menyangka serangga jatuh ke permukaan air. Selain ikan puyu, ikan haruan juga berjaya dipancing yang menjadi bonus memancing Aktiviti memancing hanya meriah pada beberapa hari sebelum hari raya. Selepas hari raya, hujan lebat menyebabkan air parit melimpah dan ikan menjadi lebih sukar untuk dipancing.

Bendi
Bendi yang ditanam di belakang rumah sudah mula mengeluarkan hasil. Pokok bendi yang ditanam tidak banyak. InsyaAllah akan cuba menanam lagi benih bendi bila balik kampung lagi.

Cili padi
Cili padi yang tumbuh dibahagian belakang dapur rumah di pindahkan ketempat yang lebih sesuai. Tanah disekeliling anak benih cili padi dipindahkan sekali supaya akar pokok tidak terjejas. Anak benih dipindakan di tempat yang lebih tinggi supaya tidak ditenggelami banjir sekiranya banjir berlaku.

Kebun Mak Teh
Kebun mak teh yang terletak di sebelah rumah nampak lebih cantik. Pelbagai pokok yang mak teh tanam seperti timun, bendi, cekur, dan cili. Kesemuanya nampak subur dan menarik serta cukup baja. Memang jauh berbeza dengan kebun sayur saya yang semak samun. InsyaAllah jadi semangat buat saya untuk memperbaiki kebun saya.

Kemas sekeliling rumah

Rumput yang panjang di sekeliling rumah dipotong supaya halaman rumah nampak lebih kemas menjelang hari raya. Dalam perancangan awal, saya bercadang memotong rumput di bahagian hadapan halaman dan tepi rumah. Namun, saya hanya sempat memotong rumput pada bahagian hadapan rumah dan laluan kebahagian belakang rumah sahaja kerana kesuntukan masa dan cuaca bulan puasa yang panas. Saya menghadkan aktiviti memotong rumpun sekitar sejam sahaja. Abang abang yang lain turut meluangkan masa mengemas kawasan halaman setakat yang termampu.

Membeli belah menjelang raya

Aktiviti membeli belah menjelang hari raya kali ini berjalan dengan lancar. Pada waktu pagi selepas beriktikaf di Masjid Zahir bersama anak anak saudara, saya singgah ke pasar pagi kampung berjaya untuk membeli santan dan beberapa barang keperluan untuk persiapan hari raya. Saya membeli sebatang lemang untuk dijadikan juadah pagi hari raya. Harga yang dijual di pasar amat berpatutan. Dalam perancangan awal, saya ingin membakar sendiri lemang. Namun, niat membakar sendiri lemang terpaksa ditangguhkan dahulu kerana ketiadaan buluh lemang. InsyaAllah dilain kesempatan saya akan mencuba memasak lemang.

Perjumpaan alumni sekolah

Tahun ini saya berkesempatan menghadiri alumni sekolah. Alhamdulillah program berjalan baik. Cuma saya tidak berkesempatan untuk bertemu dengan rakan rakan yang sama "batch" dengan saya. Sekurang kurangnya saya dapat kembali melihat sekolah tempat saya belajar dahulu. Banyak memori belajar disekolah dahulu. InsyaAllah jika ada peluang, tahun depan saya akan ajak rakan rakan satu "batch" untuk hadir.

Perjumpaan warisan Hajjah Aishah dan Haji Ibrahim

Tahun ini, perjumpaan warisan keluarga Hajjah Aishah dan Haji Ibrahim berjalan lancar seperti yang dirancang.  ArwahHajjah Aishah dan  arwah Haji Ibrahim adalah nenek dan datuk saya. Kami bertemu di Langgar, Kedah. Sambutan yang baik daripada sanak saudara yang datang dari jauh dan dekat. InsyaAllah tahun depan akan diuruskan oleh anak anak yang lain pula.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

balik kampung, 14 Jun 2020

percubaan memasak beras rebus

cara buat lemang