musim mempelam di kebun kampung, 9 Julai 2018

Alhamdulillah musim mempelam di kampung sudah hampir ke penghujung. Selama lebih sebulan menikmati buah mempelam di sekitar rumah mak di kampung.

Semasa bulan puasa, buah mempelam yang masak di kupas untuk dijadikan sebahagian daripada juadah berbuka puasa. Buah mempelam yang mengandungi serat membantu penghadaman dan perut lebih lawas.

Buah mempelam yang paling awal masak ialah mempelam pauh. Buahnya kecil masak dalam masa yang serentak. Saya tidak sempat untuk menikmati buah mempelam pauh. Pokoknya pula tinggi dan tidak ada galah yang panjang untuk mengait buah yang muda. Biji mempelam pauh akan saya kumpulkan untuk dijadikan biji benih bagi membiakkan pokok mempelam vareiti lain seperti vareiti harum manis.

Kali ini, buah yang paling banyak di tuai ialah mempelam dari vareiti chokanan. Buah yang hampir masak di kait dan diperam tanpa menggunakan sebarang agen pemeraman seperti karbaid. Selepas lebih kurang seminggu buah sudah boleh dimakan. Kebiasaanya buah sedikit buruk dan ada yang rosak kerana diserang kumbang mempelam. Kumbang mempelam merosakkan biji benih dan isi buah mempelam.

Disamping vareiti chokanan. terdapat juga vareiti mempelam berbentuk bulat. Dikampung, hanya dipanggil sebagai mempelam epal. Buah vareiti ini tidak sesuai dimakan masak kerana terlalu berserat dan isi yang lembik apabila masak. Buah mempelam epal sesuai untuk dimakan ketika muda dan sedap dicicah bersama garam belacan.

Diantara nostalgia mencicah garam belacan ialah resepi garam belacan yang dibuat oleh kakak. Belacan, gula dan cabai kering ditumbuk sekali untuk menghasilkan garam belacan yang menjadi kegemaran kami adik beradik. Dikesempatan balik kampung pada minggu ini, saya sempat mengait buah mempelam epal untuk dibawa pulang.

InsyaAllah akan cuba menyemai benih mempelam epal untuk ditanam di tempat lain.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

balik kampung, 14 Jun 2020

percubaan memasak beras rebus

cara buat lemang