balik kampung 18 Ogos 2018

Alhamdulillah dapat balik ke kampung pada minggu lepas. Masa yang diluangkan agak terbatas kerana terpaksa balik semula ke Pulau Pinang pada malam sabtu. Beberapa aktiviti sempat dijalankan di kampung dan banyak lagi kerja kerja di kampung yang tertangguh.

Bersih halaman dan belakang rumah

Rumput "kemucut" semakin panjang di belakang rumah. Jadi, mesin rumput digunakan untuk memotong rumput bagi memudahkan emak menyidai kain dan membuang sampah. Ayah pula mulai mengemas bahagian bangsal belakang rumah. Banyak kayu kayu lama yang dibuang dan dibakar.

Pancing

Aktiviti memancing sempat dijalankan, namun tidak sempat memancing lama. Alhamdulillah ada juga hasil. Aktiviti memancing di sungai besar terpaksa ditangguhkan dahulu kerana kekurangan masa. InsyaAllah balik kampung sekali lagi, saya akan cuba memancing ikan tilapia dan belida di sungai besar.


Kenduri

Banyak panggilan kenduri pada hari sabtu. Saya hanya makan nasi pada kenduri yang pertama. Kenduri kedua hanya sedikit ketupat dan yang ketiga hanya bubur pulut hitam. Kenduri di kampung memang meriah terutama pada musim cuti persekolahan. Keistimewaan kenduri di kawasan kampung ialah gulai daging yang baru dimasak. Rasanya sangat sedap dan menyelerakan bila dimakan bersama sama ulam ulaman dan sambal belacan serta lauk pauk yang lain.


Tukar motosikal

Kunci motosikal di kampung telah hilang hampir sebulan. Jadi, aktiviti ke kebun pisang tidak dapat dijalankan. Alhamdulillah kunci motosikal dapat ditukar setelah beberapa jam di tinggalkan dikedai.

Tuai pisang di kebun

Alhamdulillah dengan adanya motosikal, sempatlah saya melawat kebun pisang dihujung kampung. Banyak pisang yang masak dan dimakan burung. Ada juga yang diambil orang. Baki buah yang ada saya bawa balik. Kawasan kebun sudah mula dipenuhi semak samun. Pokok pokok liar yang mulai meninggi di tebang. InsyaAllah apabila balik sekali lagi ke kampung, saya akan menebas semak samun supaya kebun lebih lapang.

Pokok cabai burung yang ada di dalam kebun sudah mulai mengeluarkan buah. Namun, pokok tidaklah terlalu besar. Mungkin boleh ditambah dengan baja.

Selepas solat maghrib, saya bergegas pulang ke Pulau Pinang. Rasa tidak puas kerana tidak dapat meluangkan masa yang lama di kampung.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

balik kampung, 14 Jun 2020

cara buat lemang

percubaan memasak beras rebus