Catatan

semaian kacang buncis dan timun yang tidak menjadi

Semaian kacang buncis dan timun masih belum bercambah. Kalau diikutkan benih kacang buncis baru sahaja dibeli. Benih direndam sehari sebelum disemai. Benih timun sudah lama dibeli, mungkin itu menyebabkan benih tidak bercambah. Semaian dibiarkan dahulu untuk disiasat lebih lanjut sebab tidak bercambah. InsyaAllah akan semai sekali lagi kacang buncis mengunakan teknik lain pula.

Kailan sebagai buah tangan kepada tetamu

Alhamdulillah hujung minggu ini ada juga rakan isteri empat beranak yang datang menziarah kami. Jamuan raya pasta ringkas dan kuih muih yang dibeli dari kedai. Seronok tengok anak kembar mereka. Sebagai buah tangan, dihadiahkan tiga  perdu kailan serta sedikit daun limau purut. Daun limau purut kalau dicampur dalam kuah pasta lebih beraroma dan sesuai dengan selera asia. InsyaAllah, jika ada rezeki, perdu kailan akan keluarkan pucuk pucuk baru. Jadi, ada hikmah juga rajin rajin beri buah tangan sayuran kepada orang yang mengunjungi rumah. Gambar belum ada, terpaksa nanti guna kamera digital untuk ambil gambar.

Tuaian sawi cina 27 Ogos 2013

Imej
Alhamdulillah sempat menuai sawi cina untuk kegunaan berbuka puasa awal pagi tadi. Tuaian ini membolehkan sawi yang lain terus membesar. Ada lagi anak anak sawi yang terlindung dan menunggu peluang yang sesuai untuk terus membesar. Beberapa benih baru sempat juga disemai termasuk benih labu. Kali ini benih yang direndam semalaman di tekan kedalam bekas semaian sahaja. Harap harap akan bercambah. Terung Pokok terung disiram awal awal pagi sesudah balik dari subuh dimasjid. Ada satu pokok terung yang baru baru ini semakin membesar hilang pucuk utama. Tak pasti sama ada disebabkan serangan lintah bulan atau sebab yang lain. Masih ada satu lagi terung telunjuk yang masih hidup dan sudah mula berbunga. Harap harap dapat tuai hasil nanti.

Projek hujung minggu 24 Ogos 2013

Alhamdulillah hujung minggu ini dapat membuat kerja kerja kebun sedikit. Pasu bunga telang sudah dibersihkan. Biji benih bunga telang dikumpul dan pokok bunga telang yang mati dicabut. Semaian cili pear sudah bercambah dan bertunas. Sangkaan awal benih tak akan bercambah kerana direndam lebih kurang empat hari akibat terlupa. Biji benih terung sarawak juga sudah bercambah. Biji benih direndam selama sehari sebelum di tabur. Benih kacang buncis disemai semula kerana semaian awal tidak tumbuh. Gambar diletak kemudian kerana masalah kamera.

Perkembangan sawi dan terung

Imej
Alhadulillah sawi dan terung masih elok walaupun tidak disiram beberapa hari. Hanya mengharap hujan sahaja. Cuma beberapa bekas sawi sudah layu dan cepat cepat disiram. Menjelang tengah malam sudah segar kembali. Kumbang yang memakan daun terung dicari dan dimusnahkan. Bunga terung ada yang lekat buah dan banyak juga yang jatuh. Pokok tembikai susu pun sudah mula berbunga. Harap harap akan lekat buah.

Tapai daun pokok getah

Imej
Alhamdulillah minggu lepas dapat merasa tapai yang dibalut dalam daun pokok. Rasanya sangat manis. Di pekan sehari penaga juga ada penjual tapai daun pokok getah pada harga rm 1 satu. InsyaAllah akan cuba eksperimen buat tapai dan balut menggunakan daun getah.

survey anak ayam di pasar ahad penaga, 18 Ogos 2013

Alhamdulillah ahad lepas sempat berjalan ke pasar ahad penaga. Pasar ahad penaga menjadi tumpuan orang kampung dan penduduk luar untuk mendapatkan barang keperluan dan juga ikan segar dari kuala muda. Ini adalah kunjungan pertama setelah beberapa kali merancang untuk kesana.Bagi yang hendak kesana boleh keluar dari susur keluar Bertam dan memandu menghala ke Kepala Batas. Antara yang menjadi tumpuan ialah anak ayam piru/ belanda yang dijual. Pada harga RM 20 seekor dan saiz dan fizikal yang sihat rasanya berbaloi untuk dibeli. InsyaAllah jika ada kesempatan, akan kesana lagi untuk membeli anak ayam piru. Ada juga jualan anak ayam kampung pada harga RM 2.20 seekor.